Kawasan Rekreasi Dan Pelancongan
Jeram Pasu
Jeram Pasu merupakan pusat rekreasi yang paling awal dibuka di Pasir Puteh. Terletak lebih kurang 16 km dari Bandar Pasir Puteh menghala ke Kota Bharu. Kemudahan di Jeram Pasu ialah kolam mandi untuk dewasa dan kanak-kanak, surau, tandas, bilik persalinan, wakaf-wakaf dan dan terdapat gerai menjual air dan makanan segera seperti pisang goreng dan keropok lekor goreng. Tempat letak kereta juga disediakan.
Jeram Linang
Pusat rekreasi ini merupakan kawasan air terjun berbatu, dan mempunyai laluan untuk mendaki ke puncak iar terjun. Kawasan mandi untuk golongan dewasa dan kanak juga disediakan, juga terdapat play ground untuk kanak-kanak dan kawasan ini merupakan salah satu tempat yang sesuai untuk tapak perkhemahan dan kemudahan seperti tapak, dewan dan restoran masakan panas juga disediakan. Kawasan letak kereta disediakan untuk kemudahan pengunjung dan juga terdapat satu mini zoo disediakan di sini oleh pihak Pejabat Hutan Negeri Kelantan.
D' Jeram Homestay
Terdapat juga homestay di Kampung Jeram. Antaranya D'Jeram Homestay terletak di hadapan Masjid Mukim Jeram. Nikmati penginapan dikelilingi suasana kampung di rumah tradisional Kelantan yang dibina semula
Tugu Peringatan Tok Janggut
Tugu Peringatan Tok Janggut ini telah dibina oleh Majlis Daerah Pasir Puteh pada tahun 2005. Tugu ini dibina bagi memperingati jasa dan perjuangan Haji Muhammad Hassan bin Munas atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Janggut', dalam era penentangan orang-orang Melayu di Tanah Melayu ke atas Inggeris. Lokasi tugu ini adalah di Pusat Bandar Pasir Puteh.
Elemen Tugu Peringatan Tok Janggut :
- Semutar – merupakan pakaian orang Melayu atau pendekar pada zaman dahulu, dan ianya berkait rapat dengan budaya orang Islam yang mana merupakan sunnah Rasulullah S.A.W.
- Keris – merupakan senjata orang Melayu dan jati diri bagi pendekar atau hulubalang
- Lembing – merujuk kepada senjata orang Melayu yang digunakan untuk berkawal dan mempertahankan diri atau golongan bangsawan.
Tok Bali
Tok Bali dibuka pada tahun 1996, dengan pembinaan jambatan di atas darat oleh Projek Kemasin Semerak (Perkasa), dan kemudiannya dengan pembinaan Terusan Tok Bali. Pembinaan Terusan ini menjadi pemangkin utama pembangunan di Tok Bali, di mana wujudnya pengangkutan melalui laut ke Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Redang di Laut China Selatan. Demikian juga dengan kewujudan jeti pendaratan ikan laut dalam sehingga kepada pertumbuhan industri pelancongan dan produk berasaskan hasil laut seperti keropok, bebola ikan dan sebagainya. Tambang teksi ke Tok Bali ialah RM 3.00 untuk seorang.
Tok Bali merupakan suatu kawasan yang amat pesat membangun dengan pebagai perancangan yang berbentuk infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan awam serta pembangunan institusi pendidikan, kesihatan, keselamatan dan industri yang berasaskan hasil laut dalam. Terletak 16 km dari Bandar Pasir Puteh dan 8 km daripada Kg Gong Kulim. Tok Bali menjadi sebuah pusat peranginan terkenal di Kelantan kerana terdapat kawasan pantai yang bersih serta kemudahan penginapan yang selesa.